Tuesday, June 11, 2013

Jalan menuju Allah.


Bangkitnya diri seseorang adalah apabila berlakunya perubahan pada akidah atau pegangan orang itu. Maka kebangkitan Islam yang dijanjikan adalah bangkitnya semua akidah sepertimana akidah sahabat-sahabat Rasulullah yang lain. Setiap pegangan itu akan membuahkan hasil pemikiran-pemikiran lain dan tidak akan lari dari tunjang akidahnya.

Contoh :

Jika orang itu tidak percaya pada "hantu" sudah tentu setiap teorinya mesti akan menolak segala sesuatu yang berkaitan dengan pekara ghaib dan juga sebaliknya jika seseorang itu terlebih mempercayai pekara hantu maka setiap yang berlaku senantiasa akan dikaitkan dengan pekara ghaib walaupun mungkin tidak.

Begitulah kita dalam kehidupan sehari-harian. maka tanyalah didalam hati , adakah kita benar-benar mengenali Rasulullah saw dengan pancaindera kita sendiri atau hanya mendengar dari "ulama" yang menyampaikan bahawa "ini adakah sunnah nabi saw".

dan adakah kita kenal "ulama" mazhab yang kita ikut itu sendiri ataupun masih ataupn hanya ditahap "ustaz" mengatakan "ini adalah cara mazhab kita". ?

tak perlulah kita nk jawab secara lisan tetapi cukuplah jika kita sedar dimana tahap kita.

bukan meminta menjadi hebat seperti "ulama" , agak mustahil untuk kita tiba-tiba hebat tetapi janganlah kita selesa didalam tahap takliq buta, berubahlah kepada taqliq yang mampu menilai antara haq (kebenaran) dan batil (kemungkaran).


perjalanan masih jauh. :) jangan rasakan selesa dengan apa yang kita ada sekarang. teruskan mencari redha Allah swt.





Friday, February 24, 2012

JAWI, KOREA dan PUPUSnya 'Melayu'

-cdt to NUSANAGA

Salam, saya mahu copy paste perihal seorang ahli akedemik KOREA yang sangat sukai tulisan JAWI sehinggakan risau ianya akan pupus. Jadi, selainnya satu tulisan, ia terkandung seribu rahsia. Dengan jawi lah segala perihal ketuhanan boleh di letakkan dan di jadikan satu Cipher/kod untuk di bongkarkan bagi yang ahli. Apakah anda bersetuju? atau tidak? Ikuti rencana ini...





KETIKA budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi.
Penulis berpeluang menemu bual Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, yang memberikan pandangannya mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu.

Dr Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi, yang disifatkannya begitu indah.
“Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” kata Dr Kang.

Cinta Kepada Tulisan Jawi
Cinta Dr Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah Universiti di Korea Selatan.
“Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. Di Korea masa itu, tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini,” katanya.

Pada 1982, pertemuan Dr Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi.
Melalui Abdul Ghani, Dr Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan ini. Buku tulisan jawi bertajuk ‘Sejarah Melayu Pattani’, menjadi kegemarannya pada masa itu.
Dr Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi dan pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr Kang dalam merealisasikan impiannya.

“Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah.
“Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia, tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi dan saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,” katanya.
Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr Kang mengakui amat tertarik dengan kitab Al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia.
“Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab Al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah Al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya.



Jawi, Penyambung Legasi Bangsa
Dr Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sekarang sudah tenat, tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan
kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti,” katanya.
Dr Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.
“UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami.
Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia.

Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.


Malaysia ‘Cikgu’ Saya
Mengimbau kenangan Dr Kang semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, Dr Kang menyedari persepsi rakyat Korea terhadap Malaysia meleset sama sekali.
“Keluar lapangan terbang saya lihat kemajuan Malaysia di sana sini, bangunan tinggi. Macam-macam jenis kereta saya jumpa, kereta mewah seperti BMW dan Mercedes pun ada,” katanya.
Selain itu, beliau turut tertarik kepada keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang hidup aman damai dan bekerjasama dengan baik bagi memajukan negara.

“Masa saya datang ke Malaysia, saya amat tertarik dengan konsep ini kerana masa itu Korea tidak banyak campuran bangsa di sana. Bila dunia semakin berubah, sekarang ramai bangsa lain datang ke Korea.
“Jadi Korea belajar untuk sesuaikan diri dengan pelbagai bangsa ini, tetapi Malaysia sudah lama belajar tentang ini dan saya belajar dengan Malaysia,” katanya.

Dr Kang turut tertarik dengan percampuran budaya antara kaum di negara ini, mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri seperti masyarakat baba nyonya di Melaka.
Beliau berkata masyarakat berbilang kaum ini membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kesenian dan kebudayaan yang diwarisi sejak berkurun lamanya.
“Apa yang menarik perhatian saya bagaimana budaya Melayu boleh berada di tengah-tengah dan menjadi pengikat semua budaya ini. Budaya Melayu ini amat istimewa, memang ramai pengkaji asing yang sukakanya termasuk saya,” katanya.

Dr Kang berpesan kepada generasi muda Malaysia: “Bagus jika kita memahami budaya lain dan tidak salah meminati K-pop. Tetapi jangan kita terlalu taksub hingga budaya dan identiti sendiri dipinggir dan dilupakan,” katanya. -FADZLI RAMLI, Bernama

Sunday, February 12, 2012

Buta MataTetapi Tidak Buta Hati.

Kisah Sebenar Pasaran Saham

Kisah Sebenar Pasaran Saham






---------------------

Belajar Ekonomi Dalam Masa 5 Minit



Thursday, November 24, 2011

Dialog tetang ajaran Tarekat (4)

adakah benar?


Assalamualaikum wbt para Ikhwan semua.

Alhamdulillah kita akan teruskan perkongsian kita dengan bab-3 iaitu " Dasar Hukum Bertarekat".

Apakah ajarah Tarekat berlandaskan Al-Quran dan Al-hadis.?

Jawapan:
Dari segi kewujudan amalan tarekat bertujuan melaksanakan syariat Islam secara keseluruhan , tertib dan teratur serta teguh di atas norma-norma yang dikehendaki Allah serta Rasul-Nya.
kita singkap tarekat berlandaskan pada firman Allah dalam Al-Quran yang berbunyi , seperti berikut ;


wa-allawi istaqaamuu 'alaa alththhariiqati la-asqaynaahum maa-an ghadaqaan

Dan bahwasanya: jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak). (Surah Al-Jin 72:16)



yahdii bihi allaahu mani ittaba'a ridhwaanahu subula alssalaami wayukhrijuhum mina alzhzhulumaati ilaa alnnuuri bi-idznihi wayahdiihim ilaa shiraathin mustaqiimin

Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya
ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.(Surah Al-Maidah 5:16)



inna haadzihi tadzkiratun faman syaa-a ittakhadza ilaa rabbihi sabiilaan

Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka barangsiapa yang menghendaki niscaya ia menempuh jalan (yang menyampaikannya) kepada Tuhannya.
(surah Al-Muzzamin 73:19)

Ayat-Ayat tersebut dijadikan oleh para Ulama' Tasawwuf pegangan hukum dalam melaksankan pengalaman ajaran tarekat, karena dengan mengamalkan ajaran tarekat akan membawa kita memperoleh tujuan melaksankan syariat islam yang sebenarnya (terpadunya ibadat jasad , nyawa dan rasa) iaitu dimaksudkan dengan walaupun jasab itu bekerja tetapi hati tetap senantiasa berzikir dan bertasbih dengan menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya baik pada waktu pagi dan petang . Cabang pokok amalan tarekat ialah berupa wirid ,baik yang dilakukan secara mulazamah yakni secara terus-menerus ataupun yang dilakukan secara mukhalafah maksudnya menghidarkan diri dari segala sesuatu yang dapat membawa akibat lupa kepada Allah swt.

Hal ini dinyatakan Allah melalui salah satu Firman-Nya ;


yaa ayyuhaa alladziina aamanuu udzkuruu allaaha dzikran katsiiraan

Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. (surah Al-Ahzab 33:41)



wasabbihuuhu bukratan wa-ashiilaan

Dan bertasbihlah kepada-Nya diwaktu pagi dan petang.(surah Al-Ahzab 33:42)

Berdasarkan ayat ini , maka jelas bahawa Allah Azza wa Jalla telah memerintahkan kepada sekalian manuysia yang beriman untuk tetap senantiasa "berzikir" dan "bertasbih" dengan menyebut nama Allah swt sebanyak-banyaknya baik waktu pagi dan petang , siang ataupun malam, selama hayat masih dikandung badan ,ambil kesempatan untuk memohon keampunan kepada-Nya. Kerana manusia tidak terlepas dari dosa dan noda, baik ucapannya mahupun perbuatan mereka yang sering melanggar larangan-Nya. Sepertimana yang dijelaskan didalam Firman Allah swt , berbunyi ;



waalladziina idzaa fa'aluu faahisyatan aw zhalamuu anfusahum dzakaruu allaaha faistaghfaruu lidzunuubihim waman yaghfiru aldzdzunuuba illaa allaahu walam yushirruu 'alaa maa fa'aluu wahum ya'lamuuna

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri , mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Surah Al-Imran 3:135)

Berzikir itu dapat menyebabkan seseorang itu akan mendapat keampunan dari Allah swt. Segala kesalahannya akan diampuni Allah swt jika ia dengan segera memohon bertaubat dan memohon keampunan dari rabbul izzati. Kerana orang yang baik bukanlah orang yang pernah tidak pernah melakukan kesalahan tetapi orang yang baik adalah orang yang sanggup memperbaiki dirinya dari segalah kesalahan yang pernah dilakukannya.

Matlamat utama yang hendak dicapai dalam pengalaman tarekat adalah yakni wujudnya rasa manunggal antara hamba dengan Tuhannya Yakni Allah Azza wa Jalla , iaitu kerana ketekunan dan keikhlasan hambaNya dalam menjalankan syariat secara terus-menerus(utuh) dan terasa indah dan nikmat oleh pantulan sinar cahaya Allah swt.

*Yang dimakusdkan adalah mengenali sifat-sifat Allah yang sebenarnya. Waallahualam
(perlajari buku-buku tetang "Ma'arifat kepada Allah")



bersambung.. " bertawassul dan Robithah"


insyaAllah.

Monday, November 21, 2011

Dialog Rasullulah saw dengan Abu Dzar

Masjid Nabawiyah


Credit to : CahayaMukmin


Diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Husain dari Abu Idris Al-Khaulani bahawa Abu Dzar r.a. bercerita: "Pada suatu hari aku masuk ke dalam masjid dan menemui Rasulullah saw. sedang duduk seorang diri; maka aku mendekatinya dan duduk di sampingnya, kemudian terjadilah dialog (soal jawab di antara beliau dan aku).

1. Aku (Abu Dzarr) bertanya, "Ya Rasulullah, engkau memerintahkan aku bersolat?"
Beliau (Rasulullah) menjawab: "Solat adalah sebaik-baik perbuatan, maka perbanyakkanlah atau sedikit."

2. Aku tanya, "Amal apakah yang paling afdhal?"
Beliau jawab:"Beriman kepada Allah dan berjihad fi sabiilih (pada jalanNYA)."

3. Aku tanya,"Mukmin yang bagaimanakah yang paling afdhal?"
Beliau jawab: "Ialah yang terbaik akhlaknya."

4. Tanya, "Muslim yg bagaimanakah yang paling selamat?"
Jawab: "Ialah yg menyelamatkan orang-orang dari gangguan lidahnya dan tangannya."

5. Tanya, "Hijrah yg bagaimanakah yg afdhal, ya Rasulullah?"
Jawab: "Ialah hijrah dari (meninggalkan) perbuatan maksiat."

6. Tanya,"Solat yang bagaimanakah yang afdhal, ya Rasulullah?"
Jawab:"Berkhusyuk yang panjang (lama berdiri)."

7. Tanya,"Hamba-hamba sahaya manakah yg paling afdhal utk dimerdekakan?"
Jawab:"Hamba yg paling mahal harganya dan yg paling disayang oleh pemiliknya."

8. Tanya,"Sedekah yg bagaimanakah yg paling afdhal, ya Rasulullah?"
Jawab:"Pemberian dari orang yg masih kekurangan (tidak kaya) dan pemberian secara rahsia kepada fakir miskin."

9. Tanya,"Ayat apakah di antara ayat-ayat yg diturunkan kepadamu yg paling besar?"
Jawab:"Ayat Kursi, dan tujuh langit itu jika dibandingkan dengan Kursi, melainkan seperti sebuah cincin (atau lingkaran besi) yg berada di tengah-tengah padang pasir, dan perbandingan Arasy terhadap Kursi adalah perbandingan padang pasir itu terhadap cincin tadi."

10. Tanya,"Berapakah bilangan Nabi-Nabi, ya Rasulullah?"
Jawab:"Seratus dua puluh empat ribu." (124,000)

11. Tanya,"Berapakah yg menjadi Rasul di antara mereka, ya Rasulullah?"
Jawab:"Sebanyak tiga ratus tiga belas." (313)

12. Tanya,"Siapakah yg pertama, ya Rasulullah?"
Jawab:"Adam."

13. Tanya,"Apakah dia seorang Nabi yg diutus ?"
Jawab:"Benar, dia diciptakan oleh Allah dengan tanganNYA, ditiupkan ruh ke dalam tubuhnya yang disempurnakan."
Dan selanjutnya Rasulullah bersabda:
"Hai Abu Dzarr, empat dari mereka adalah dari golongan Siryaniun, iaitu Adam, Syith, Nuh, dan Idris, iaitu Nabi pertama yg dapat menulis dengan pensel. Dan empat Nabi dari keturunan Arab, iaitu Hud, Syuaib, Saleh, dan Nabimu, hai Abu Dzarr."

14. Abu Dzarr bertanya,"Berapa kitab telah diturunkan Allah, ya Rasulullah?"
Ar-Rasul saw. jawab:"Seratus empat kitab (104). Kepada Syith tlh diturunkan lima puluh halaman, Idris tiga puluh halaman, Ibrahim sepuluh halaman, Musa sebelum Taurat ada sepuluh halaman, di samping kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur'an."

15. Tanya,"Ya Rasulullah, apakah isi lembaran yg diturunkan kepada Ibrahim?"
Jawab:"Isinya ialah: Hai Raja yg berkuasa, dipuji dan sombong, sesungguhnya AKU tidak mengutusmu untuk mengumpulkan dunia, melonggokkan sebahagian di atas sebahagian, akan tetapi AKU mengutusmu untuk menerima doanya orang yg teraniaya agar tidak sampai kepada-KU, kerana AKU tidak akan mengembalikannya walaupun ia datang dari seorang yg kafir. Seorang yg bijaksana akan membahagi masanya menjadi beberapa waktu untuk bermunajat kepada Tuhannya, beberapa waktu untuk bertanya pada dirinya sendiri (muhasabah), beberapa waktu untuk merenungkan ciptaan Allah, dan beberapa waktu lagi utk mengurus keperluan makan dan minumnya. Seorang yang bijaksana tidak akan meributkan (menyibukkan) diri melainkan untuk tiga tujuan: mencari bekal untuk hari kemudian (Akhirat), mencari nafkah hidup, dan mencari kelazatan yg halal. Seorang yg bijaksana hendaklah mengenal zamannya, tekun mengurus urusannya, dan menjaga lidahnya. Barangsiapa yang menyesuaikan bicaranya dengan perbuatan, maka akan jarang berbicara melainkandalam hal-hal yg mengenai dirinya."

16. Tanya,"Apakah isi lembaran-lembaran yg diturunkan ke atas Musa, ya Rasulullah?"
Jawab:"Isinya adalah semua peringatan dan ibarah; aku hairan dari orang yg yakin akan mati bagaimana ia dapat bersuka-ria, aku hairan dari orang yg yakin dgn adanya takdir bagaimana ia membanting tulang bekerja, aku hairan dari org yg melihat keadaan dunia yg selalu berubah bagaimana ia dapat tenang mempercayainya dan aku hairan dari orang yg yakin adanya hari hisab besok, bagaimana ia enggan beramal."

17. Tanya,"Ya Rasulullah, apakah ada yg sampai kepada kita sesuatu yg dulu ada di tangan Ibrahim dan Musa, dan apakah yg diturunkan Allah kepadamu?"
Jawab:"Ada, cubalah baca hai Abu Dzarr, 'Sesungguhnya beruntunglah orang yg membersihkan diri (dengan beriman) dan ia ingat akan nama Tuhannya, lalu ia bersembahyang. Tetapi kamu (orang2 kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.' Sesungguhnya ini benar2 terdapat dalam kitab2 yg dahulu (iaitu) kitab2 Ibrahim dan Musa."

18. Abu Dzarr bertanya,"Apakah wasiatmu kepadaku, ya Rasulullah?"
Ar-Rasul saw menjawab:"Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, kerana itu (taqwa) adalah pokok segala urusanmu."

19. Abu Dzarr bertanya lagi,"Apa lagi ya Rasulullah?"
Rasulullah saw. menjawab:"Bacalah Al-Qur'an dan berzikirlah (ingatlah) kepada Allah, kerana itu akan menjadi zikir buatmu di langit dan cahaya bagimu di dunia."

20. Tanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?"
Jawab:"Hindarilah banyak ketawa, kerana itu mematikan hati dan menghilangkan cahaya wajah."

21. Tanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?"
Jawab:"Laksanakanlah kewajipan berjihad, kerana itu merupakan kerahiban perjuangan bagi umatku."

22. Tanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?"
Jawab:"Hendaklah engkau selalu diam (tidak bercakap) melainkan untuk kebaikan, kerana itu dapat mengusir syaitan dan dapat menolongmu dalam urusan agamamu."

23. Tanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?"
Jawab:"Lihatlah kepada orang yg di bawahmu dan janganlah melihat orang yg berada di atasmu, agar engkau tidak memandang rendah akan nikmat yg Allah berikan kepadamu."

24. Abu Dzarr bertanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?
Jawab:"Cintailah orang2 fakir miskin dan duduklah bersama-sama mereka, agar engkau tidak memandang rendah dan kecil nikmat Allah kepadamu."

25. Bertanya Abu Dzarr,"Apa lagi, ya Rasulullah?"
Rasulullah saw. menjawab:"Hubungilah kerabatmu, walaupun mereka memutuskan hubungannya dengan engkau."

26. Tanya Abu Dzarr,"Apa lagi ya Rasulullah?"
Jawab Rasululllah:"Katakanlah apa yang haq (yang benar) walaupun itu merupakan hal yg pahit."

27. Tanya,"Apa lagi ya Rasulullah?"
Jawab:"Janganlah engkau takut dicerca orang kerana membela agama Allah."

28. Tanya,"Apa lagi ya Rasulullah?"
Jawab:"Apa yang engkau ketahui tentang dirimu akan mencegahmu mencampuri urusan orang lain dan janganlah engkau sesalkan bahawa orang tidak melakukan apa yg engkau sukai. Dan cukup sebagai aib bahwa engkau mengetahui tentang orang lain apa yang engkau tidak mengetahui tentang dirimu sendiri."
Kemudian Rasulullah saw. memukul dadaku dengan tangannya seraya bersabda: "Tiada aqal seperti kebijaksanaan, tiada wara' seperti memahami diri dan tiada kebanggaan seperti akhlak yang baik."

Sumber:
Terjemahan Ibnu Katsir, Jilid 2

Sunday, November 20, 2011

Universiti Kehidupan 63 – Rahsia Bintang Enam Israel


Credit to : UsTaz Amin

Jumaat 24 April 09, merupakan hari bersejarah dalam hidup saya dan rombongan apabila ia merupakan hari pertama di dalam hidup kami menjejaki kaki ke al-Aqsa. Saya menunaikan solat Tahyatul Masjid. Sebelum khutbah bermula, kami mendengar bayan (syarahan) yang disampaikan oleh Imam al-Aqsa, Syeikh Yusuf Abu Sunainah. Di dalam bayannya, beliau mengutuk Israel dengan suara yang lantang.

Ketika khutbah bermula, beliau menegaskan agar semua anak-anak muda Palestin balik merujuk kepada sejarah kerana orang Yahudi telah mula mahu menipu sejarah. Mereka mengatakan bahawa tanah Palestin adalah tanah asal mereka. (saya akan tulis kemudian tajuk khas bab ini)

Ketika selesai menunaikan solat Jumaat, saya dan rombongan berjalan-jalan sekitar al-Aqsa. Saya menghampiri mimbar al-Aqsa. Ia merupakan mimbar lama hampir berumur 1000 tahun.

Ketika Salahuddin al-Ayubi dapat mengalahkan tentera salib di Jerusalem, beliau membawa dua mimbar dari Halab (Aleppo) Syria, tempat dimakamkan Saidina Khalid al-Walid . Saidina Khalid al-Walid antara sahabat yang berjuang untuk membuka kota Jerusalem ini. Setelah enam ratus tahun kemudian, Jerusalem berada di dalam tangan tentera salib. Pada tahun 1187, ia berada ditangan Islam kembali. Mimbar ini sebagai simbol bahawa masjid ini telah di dalam amanah Islam semula

Satu mimbar diletakkan di masjid al-Aqsa, satu lagi di masjid al-Khalil (Masjid dimakamkan Nabi Ibrahim a.s)

Ketika saya menghampiri mimbar Salahuddin di al-Aqsa ini, saya mengerutkan dahi. Kenapa di mimbar ini ada bintang enam? lambing negara Israel.

Gelagat saya diperhatikan salah seorang penjaga al-Aqsa. Dia menghampir saya, memberi salam dan memegang bahu saya.

"Aku tahu apa yang engkau fikirikan" kata beliau.

'Kamu tentu hairan kenapa ada lambang Israel di mimbar ini kan"? Beliau menambah.

Saya hanya menganggukkan kepala.

Penjaga ini menarik tangan saya, pergi ke tepi masjid. Dia kemudian menudingkan jarinya ke arah tingkap berhampiran dengan syiling al-Aqsa.

"Cuba kamu lihat, ditingkap itu pun ada lambang bintang enam ini, di dinding ini pun ada," katanya sambil menunjukkan arah dinding al-Aqsa.

"Emmm, kenapa ya?" Tanya saya ingin mengetahui lanjut.

"Sebenarnya nak, bintang enam ini adalah lambang bangsa Arab Kan'an. Ia ada sejak ribuan tahun dahulu. Bangsa Arab Kan'an menggunakan bintang ini sebagai lambang kaum mereka. Sebab itu, ketika Salahuddin datang, dia membina tingkap ini dengan mengekalkan lambang bintang enam ini sebagai menghormati kaum Arab Kan'an yang telah Islam. "

"Orang Kan'an merupakan penduduk asal tanah Palestin ini. Sebelum Israel dibawa oleh Nabi Musa ke Palestin, mereka telah ada. "

"Umur mimbar ini hampir seribu tahun. Tingkap dan mar-mar di dinding ini berumur ratusan tahun. Orang Israel menggunakan lambang ini baru dalam 100 tahun. Mereka menggunakan lambang ini dengan alasan seolah-olah mereka penduduk asal seperti Arab Kan'an di sini ".

Penjaga ini menerangkan kepada saya dengan panjang lebar.

"Oh, baru saya faham. Rupanya bintang enam ini bukannya lambang asal Israel." Kata saya.

Apa ada pada lambang? Ia merupakan simbol. Orang yang memakai lambang sesuatu kaum dia akan termasuk di dalam kaum itu.

Di dalam Islam kita dilarang memakai lambang orang kafir. Bukan sahaja lambang, menyerupai sesuatu kaum pun kita dilarang.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud,

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia akan tergolong di dalam kaum itu".


Israel menggunakan lambang bintang enam untuk menyatakan dia adalah penduduk asal Palestin ini. Mereka mengarang buku-buku yang menyatakan mereka adalah penduduk asal dengan menafikan bahawa Arab Kan'an adalah penduduk asal di sini.

Sebab itulah, Syeikh Yusuf Abu Sunainah menekankan kepada pemuda-pemuda Palestin agar kembali mendalami sejarah.

Apabila sejarah tidak diajar, maka akhirnya, sesorang akan hilang jatidirinya. Inilah yang sedang berlaku bagi penduduk Palestin yang bersekolah di sekolah rasmi. Enam puluh tahun berada di dalam jajahan Israel bermakna sudah masuk generasi ketiga tanah ini dijajah.

Saya bertemu dengan penduduk Palestin yang merasa selesa berada di bawah Israel kerana semua kelengkapan telah cukup dan keadaan di sini lebih selesa dari negara Arab lain. Tidak sedikit yang lebih bangga memakai passport Israel dari memakai passport Palestin atau Jordan.

Pada mereka, saudara di Gaza hal mereka. Sebab itu, dari Palestin sendiri, tidak banyak bantuan yang datang ke Gaza. Orang kaya semakin kaya dengan syarikatnya. Coca cola tidak diboikot di Palestin. Iklan terpampang besar di sana sini.

Benarlah kata hukama':-

"Jika mahu membunuh tanamam, racunlah akarnya, jika mahu membunuh bangsa, racunlah sejarah mereka"


Jika ini dibiarkan, maka generasi Palestin yang akan datang akan lebih selesa bersama Israel dari bersama orang Arab. Semoga, iman dan ilmu akan menyelamatkan mereka. Dan semoga ia menjadi iktibar buat kita di Malaysia.

"Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Zaman"


Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
12 Mei 09 jam 12.55 malam.


Bintang Enam yang menjadi lambang rasmi negara Israel
Bintang enam yang terdapat di mimbar al-Aqsa
Mimbar ini telah berumur hampir seribu tahun.
Mar-mar yang menghiasi dinding al-Aqsa.
Tingkap dengan bintang enam yang berada di al-Aqsa
Di sini, barangan Israel digunakan oleh orang Arab sendiri.Coca-cola menjadi minuman harian mereka.
Iklan Coca Cola yang terpampang di sana sini. Apakah fatwa Yusuf al-Qardawi tidak terpakai di sini?